Friday, November 30, 2007

Indahnya Piliharaya Di Australia

Tulisan seorang sahabat dari bumi kangaroo..

Pilihanraya Australia: Khabar dari seberang

Minggu lalu rantau Asia-Pasifik menyaksikan satu lagi perubahan kepimpinan. Rakyat Australia selama 13 tahun berada dibawah kepimpinan John Howard terpaksa menidakkan beliau untuk menjawat jawatan tersebut untuk kesekian kalinya. Namun kata-kata John Howard sebaik selepas mengumumkan kekalah beliau dan juga partinya harus dihormati. Katanya,

"I take full responsibility for this campaign and I therefore accept full reponsibility for the defeat in this election, but I’m proud to left Australia prouder and stronger and more prosperous

Kata-kata tersebut sekaligus menutup suasana kekalahan dan wajah muram Parti Liberal. Rakyat Australia tidak dapat menafikan akan kebenaran ucapan tersebut, namun demi masa depan Negara mereka memilih untuk melihat kepimpinan yang lebih segar dan berwawasan jelas.

Perdana Menteri terpilih, Kevin Rudd yang baru menduduki kerusi sebagai ketua pembangkang tidak lebih dari 10 bulan, susulan dari itu telah menyambut kata-kata John Howard,

“ John Howard has done a great job to Australian, but we are going do a greater job for Australia ”

Semangat pilihanraya yang tergambar melalui dua situasi ini setidak-tidaknya telah memberi wajah yang cukup jernih terhadap semangat pertandingan didalam pilihanraya. Malah ia juga memberi gambaran yang cukup jelas, bahawa sistem pilihanraya yang dijalankan begitu diyakini bersih tanpa ada sebarang singgungan daripada dua watak utama yang bertanding, yang menang atau kalah. Rupa paras demokrasi menang kalah berpilihanraya di bumi kangaroo ini seharusnya dilihat serius oleh pengamat politik tanahair

Melihat sendiri suasana kempen dan pilihanraya di bumi Australia ini merupakan pengalaman yang cukup manis. Saya hanya mengikuti perkembangan semasa pilihanraya melalui kaca TV, tidak melalui surat khabar, radio, internet atau media lain. Dan saya yakin media lain memberi liputan yang lebih menyeluruh dan terpeinci. Walaubagaimanapun, saya terpaksa akur yang perbincangan dan perbahasan di TV sahaja telah melengkapi setiap mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua belah pihak. Keberkesanan dan kejayaan Parti Buruh perlu dilihat pada dua langkah yang saling berkaitan, yang pertama adalah stuktur demokrasi itu sendiri yang menjadi tunjang kepada pilihanraya yang adil lagi bersih dan yang kedua adalah keberkesanan kempen dalam memahami kehendak rakyat.

Memberi hak yang sama kepada sesiapa yang bertanding untuk berkempen melalui prasarana yang sedia ada telah memberi peluang kepada semua pihak atau parti mempopularkan mesej yang ingin diketengahkan. Kebebasan media untuk mengulas dan melapor menyumbang lagi kepada kempen pilihanraya yang sihat dikalangan parti. Yang paling menarik perhatian saya adalah debat terbuka atau apa yang digelar ‘Great Debate’ antara 2 calon utama kedua-dua parti (bakal PM), yang menjadi medan untuk menjaja visi dan kredibiliti individu dan parti. Disinilah tempat untuk masing-masing meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah calon terbaik yang harus menjawat jawatan utama negara. Telahan mudahnya, inilah wajah mereka yang jelas ingin menerajui kepimpinan negara dan berani untuk merealisasikan peranan kebebasan bersuara. Berada dihadapan rakyat diatas pentas bersama pencabar untuk menjawab soalan-soalan kritikal, sekaligus menjadi kayu ukur yang terbaik buat pengundi. Rasionalnya, rakyat berhak mendapat maklumat secara langsung daripada calon, dan melalui program sebegini, matlamat itu dapat tercapai.

Spekulasi dan khabar angin merupakan sesuatu yang ganjil dalam suasana pilihanraya Australia . Kedua-dua parti yang mendapat liputan hampir saksama dalam media, barangkali menjadi faktor terpenting yang menyumbang. Setiap persoalan dan spekulasi cepat mendapat perhatian calon dan jawapan mereka akan mendapat tempat utama dalam media, menjadikan ruang spekulasi dan khabar angin semakin sempit. Suasana sihat ini secara tidak langsung mengurangkan wajah buruk pilihanraya yang kita sering hadapi yang penuh dengan khabar angin, fitnah serta caci maki.

Sebahagian kecil faktor yang disebut diatas sebenarnya menjadi tangga yang mengizinkan Parti Buruh menjalankan kempen berkesan mereka yang sekaligus membawa mereka pada kejayaan. Keberkesanan kempen Parti Buruh adalah penyumbang utama pada keputusan pilihanraya ini. Ditambah dengan kegagalan Parti Liberal menunaikan janji-janji pilihanraya lalu pula merupakan titik lemah John Howard dalam kempen kali ini. Rakyat Australia yang rata-ratanya jelas dengan apa yang mereka mahu daripada parti yang bakal memerintah. Isu-isu seperti tax benefit, workhoice law, childcare, education revolution dan beberapa isu lain adalah perhatian utama rakyat Australia , yang berjaya dimanupulasi dengan baik melalui kempen Parti Buruh. Ditambah pula dengan isu climate change, Iraq war dan world-class broadband, ia menjadi bonus kepada kempen Kevin Rudd secara keseluruhan. Memerhati secara dalam kehendak rakyat, dan berulangkali memberi penekanan terhadap isu penting inilah yang saya rasa meyakinkan rakyat untuk membuat pilihan.

Kempen Howard lebih bersifat umum, melibatkan ekonomi, kadar faedah (interest rate) dan pengangguran seolah-olah kempen yang lapuk pada pilihanraya kali ini. Usaha beliau mempertahankan peraturan baru pekerja awam (Workchoices Law), yang mendapat tentangan umum sebaik ia diperkenalkan seolah-olah mesej rakyat yang tidak dapat dibaca oleh Parti Liberal. Kebiasaan mempersendakan komitmen parti lawan pada beberapa isu merupakan antara tindakan merugikan dari segi masa dan komitmen. Dalam masa parti lawan sibuk berkempen, Parti Liberal terpaksa mengorbankan masa yang banyak menjawab isu-isu kritikal berkaitan pemerintahan mereka yang semakin tempang. Disebalik semua inilah, rakyat Australia telah membuat keputusan, dan tahniah kerana mereka telah menunaikan tanggungjawab.

Struktur demokrasi yang bersih dan membenarkan kebebasan media adalah ramuan utama pilihanraya Australia , keberkesanan kempen dan memahami kehendak rakyat dan memperjuangkannya adalah pelengkap kepada suatu parti yang ingin akan kemenangan, dan ia di lihat jelas pada pilihanraya Australia 2007. Namun faktor utama lebih dominan, dan kehendak rakyat untuk pilihanraya yang bersih adalah langkah yang paling bijak dan patut serta kena pada masanya. Rakyat Malaysia sudah lama bersedia, dan saya yakin Malaysia dapat menjadi contoh kepada sebuah Negara demokrasi yang baik jika tuntutan tersebut menemui kejayaan. Adakah kita mampu merubahnya? Segalanya bergantung pada KITA.

No comments: